Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kiri) merangkap Anggota Parlimen Shah Alam menerima cenderahati daripada lagenda bola sepak negar, Datuk Soh Chin Aun (kanan) ketika hadir pada Majlis Pembukaan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Arena Seksyen 13, Shah Alam pada 12 Januari 2020. Turut hadir Menteri Perdaganggan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan optimis pelan pembangunan Kampung Baru dimuktamad Jun ini

SHAH ALAM, 12 JAN: Kementarian Wilayah Persekutuan optimis dengan Pelan Pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur akan dapat dimuktamadkan pada Jun ini berdasarkan maklum balas diterima dalam kalangan pemilik tanah di kawasan itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata buat masa ini beliau telah mengarahkan pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk melakukan perjumpaan secara berkumpulan dengan pemilik tanah berkenaan untuk berbincang mengenai isu-isu yang berbangkit.

“Perjumpaan secara kumpulan-kumpulan kecil ini telah kita lakukan sejak awal bulan lepas dan sehingga kini kita telah berjumpa kira-kira 50 peratus daripada 5,374 pemilik tanah keseluruhan di Kampung Baru.

“Daripada jumlah yang kita telah jumpa, 97 peratus mengatakan kesediaan untuk menjual tanah mereka bagi memberi jalan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Kampung Baru dan insya-Allah dalam masa enam bulan nanti kita akan muktamadkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan isu pembangunan Kampung Baru, selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perpaduan, Piala Khalid Samad di sini hari ini.

Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada pelbagai kaum menyertai kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh Amanah Shah Alam.

Khalid berkata pihaknya bersedia dengan langkah-langkah yang perlu sekiranya gagal mendapat persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah Kampung Baru.

“Bagaimanapun, kita yakin dengan tawaran baharu yang kita beri, kita akan mendapat persetujuan semua pemilik tanah,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sementara itu, mengulas kejohanan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata aktiviti sukan merupakan platform terbaik untuk rakyat pelbagai kaum menunjukkan kekuatan perpaduan mereka.

“Perpaduan kaum ini merupakan kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia, kita mesti lawan isu-isu perkauman yang diapi-apikan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan saya berharap lebih banyak lagi ahli-ahli Parlimen mengambil langkah yang sama untuk menganjurkan aktiviti yang memupuk perpaduan kaum di kawasan masing-masing,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :