AGENSISELANGOR

Sindiket dalam talian: 23 individu diberkas

SHAH ALAM, 1 JAN: Seramai 23 individu termasuk lima wanita warga China ditahan setelah disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian semasa serbuan di tiga unit kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Serbuan yang dinamakan Op Nuri itu dilakukan serentak oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Mohd Zani Che Din berkata, kesemua mereka yang ditahan berada di dalam tiga unit kondominium berkenaan.

“Dalam unit pertama, kami menahan empat lelaki disyaki warga China selepas gagal memberikan sebarang dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut kemudian menemui empat unit komputer riba dan empat unit telefon bimbit.

“Di unit kedua seramai tiga lelaki disyaki warga China ditahan dan sebanyak 10 telefon bimbit dan empat komputer riba dirampas manakala di unit ketiga kita telah menahan 11 lelaki dan lima wanita warga China selain merampas 15 telefon bimbit dan lima komputer riba,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kesemua suspek yang dipercayai bergiat aktif kira-kira sebulan lalu, dibawa ke Iubu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Zani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam talian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti modus operandi sindiket berkenaan dan mengesan mereka yang menjadi mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :