AGENDANASIONAL

Jadi pengguna bijak, waspada beli ubat dalam talian

SHAH ALAM, 15 APRIL: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika membeli ubat secara dalam talian terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Program Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Twitter berkata ramai orang mula membuat pembelian ubat menggunakan pendekatan itu namun diingatkan untuk membaca maklumat dahulu sebelum membayar.

“Ramai yang membeli ubat secara dalam talian sewaktu #PerintahKawalanPergerakan ini. Pastikan ubat yang dibeli berdaftar dengan KKM dan jadi pembeli yang bijak dengan menyemak di https://npra.gov.my,” tulis di Twitter.

KKM turut memberi beberapa panduan kepada mereka yang mencari ubat menerusi dalam talian, antaranya dengan memastikan ia berdaftar dengan kementerian (contoh MAL12345678T) dan mempunyai pelekat keselamatan hologram serta menyemak di https://npra.gov.my atau muat turun aplikasi NPRA Product Status dari App Store dan Google Play.

Iklan bagi barangan itu perlu mempunyai kelulusan Lembaga Iklan Ubat dengan rujukan di www.pharmacy.gov.my dan mengenal pasti premis fizikal sah yang menjual secara dalam talian dan pastikan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Orang ramai juga diingatkan jangan membeli ubat terkawal dan ubat untuk rawatan penyakit (Contoh: Ubat jangkitan Covid-19, darah tinggi, kanser) dan mudah percaya janji manis pengiklan juga testimoni pengguna.


Pengarang :