PBTSELANGOR

MBSA larang kerja pembinaan di Seksyen U13

SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam melarang kerja pembinaan dan pengubahsuaian di Seksyen U13, Setia Alam mulai hari ini ekoran berlaku kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

MBSA menerusi Facebook berkata arahan berkenaan tertakluk kepada premis, bangunan serta kediaman.

“Berdasarkan situasi kes positif Covid-19 di Seksyen U13, kami memutuskan tiada kerja pembinaan di situ sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” jelas kenyataan itu.

MBSA memberitahu, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 di talian 03-5522 2702 dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, dilaporkan ada dua kes positif Covid-19 di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 1,612 kes di negeri ini.


Pengarang :