Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Selangor di Shah Alam pada 29 Jun 2020. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto Twitter Azmin Ali
AGENDANASIONAL

Jana ekonomi pasca Covid-19, Putrajaya jamin adil kepada semua negeri

SHAH ALAM, 29 JUN: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan berlaku adil terhadap semua negeri walaupun berada di bawah pimpinan pembangkang sebagai usaha menjana semula ekonomi negara susulan impak penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul perbezaan ideologi politik dalam isu pembangunan ekonomi kerana ia merupakan tanggungjawab bersama terutama ketika pasca Covid-19.

“Kita ketepikan politik, ini adalah masanya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu berganding bahu untuk menangani cabaran yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Sangat penting bagi kita, kerajaan Persekutuan dan negeri untuk saling bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor (MTPNg) di sini hari ini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengenai mesyuarat tersebut, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi MTPNg Selangor berkata ia bersetuju supaya beberapa projek infrastruktur yang diluluskan sebelum ini disegerakan pelaksanaannya.

Beliau berkata langkah berkenaan dilihat perlu dilakukan kerana projek infrastruktur tersebut mempunyai kesan gandaan terhadap penjanaan ekonomi negeri dan juga negara.

Selain itu, katanya, mesyuarat tersebut juga menumpukan kepada keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital di Selangor.

“Hari ini, Telekom Malaysia Berhad membentangkan kertas kerja mengenai usaha Kerajaan Selangor untuk meningkatkan infrastruktur jalinan fiber optik di negeri ini dan kita akan memberikan sokongan terhadap langkah tersebut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :