Selangorkini
Gelagat murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri pendidikan: Garis panduan buka semula sekolah diedar esok

KAJANG, 3 JUN: Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan mulai esok bagi membolehkan pihak sekolah dan guru membuat persediaan sewajarnya, kata Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata garis panduan berhubung pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula setibanya pelajar di sekolah hingga pulang dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita keluarkan garis panduan bagi melihat kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya dilakukan bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan maka setiap sekolah sudah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu… apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa misalnya, jika anak bergejala tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya.

Dr Mohd Radzi Md Jidin mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi pada hari pertama beliau memulakan tugas di Kementerian Pendidikan pada 11 Mac 2020. Foto BERNAMA

Beliau yang juga menteri kanan berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Mohd Radzi berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memainkan peranan memantau sekolah bagi memastikan garis panduan yang disediakan dipatuhi.

“Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang diadakan dan kita yakin pengurusan sekolah dan guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini dipatuhi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah selain perlu memainkan peranan mendidik anak-anak mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya dengan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

Ditanya mengenai bila sesi persekolahan akan bermula, beliau menegaskan setakat ini masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya bekerjasama rapat bersama KKM dan MKN untuk memutuskan perkara itu.

“Apabila KKM dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka… kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah,” katanya.

Menurutnya, pembukaan sekolah kelak hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah di seluruh negara yang akan dibuka.

-BERNAMA


Pengarang :