Papan iklan yang dipasang di sekitar Shah Alam bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan mengawal penularan Covid-19. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

MBSA pasang dua papan iklan hargai sumbangan petugas hadapan

SHAH ALAM, 3 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang dua papan iklan bagi menghargai komitmen petugas hadapan yang bertungkus lumus memerangi penularan Covid-19.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata papan iklan tersebut dipasang di Bulatan Kayangan, Seksyen 9 dan Lebuhraya Persekutuan dengan mesej “Terima Kasih Petugas Barisan Hadapan Dalam Usaha Memutuskan Rantaian Covid-19”.

“Peranan dan sumbangan petugas hadapan dalam memerangi Covid-19 tidak boleh dipertikaikan. Mereka menunjukkan komitmen tinggi dan bertungkus lumus menangani penularan wabak,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap usaha itu menaikkan semangat dan memberi dorongan kepada petugas hadapan selain meminta masyarakat peka serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Papan iklan dengan latar belakang berwarna jingga turut memaparkan wajah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama petugas kesihatan.

Sebanyak 7,877 kes Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat ini dan tiada kes kematian untuk 11 hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu menjadikan angka korban kekal 115 kes.


Pengarang :