AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar dasar semalam dijangka pengaruhi ringgit

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan memandangkan pelabur menunggu keputusan bank pusat berhubung kadar dasar semalam (OPR) seterusnya.

Penganalisis berkata pengumuman itu akan menjadi faktor dalam menentukan kedudukan ekonomi bagi beberapa bulan akan datang dengan tempoh moratorium perbankan akan berakhir pada September ini.

“Berdasarkan pasaran pekerjaan tempatan yang mengalami kesukaran dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan kemelesetan juga masih membelenggu keadaan, pengurangan lagi OPR dijangka dilaksanakan untuk meningkatkan mudah tunai kewangan serta melengkapkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

OPR Malaysia kini berada pada 2.00 peratus, terendah sejak Krisis Ekonomi Global 2008-2009, dan menurut nota penyelidikan, Bank Negara Malaysia mungkin mengurangkan 25 mata asas lagi menjadi 1.75 peratus untuk melindungi ekonomi selepas mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

Mengenai pelaburan asing, beliau berkata mata wang tempatan kini diniagakan dalam mod tidak banyak berubah susulan ketidaktentuan pasaran global akan berterusan, oleh itu pelabur menangguhkan untuk menetapkan semula pegangan masing-masing.

“Pasaran minyak global kekal tidak berubah pada US$40 setong kerana permintaan masih lembap selepas ekonomi mulai dibuka kembali. Selagi logistik dan perjalanan udara masih disekat, permintaan akan kekal suram,” katanya.

Bagi prestasi mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.2840 2900 ketika ditutup pada Jumaat, daripada 4.2890/2930 semasa penutupan pada Jumaat minggu lepas.

Unit tempatan juga naik berbanding dolar Singapuran kepada 3.0718/0766 daripada 3.0827/0865 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9855/9918 daripada 4.0114/0155.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3332/3423 daripada 5.3124/3190 minggu lepas namun stabil berbanding euro kepada 4.8101/8185 daripada 4.8118/8167.

-BERNAMA


Pengarang :