Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA: Bayar cukai taksiran, menang motor Yamaha Y15ZR

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran dengan tawaran hadiah keseluruhan RM48,300 termasuk tiga motosikal Yamaha Y15ZR 150cc.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya memaklumkan kempen bermula 1 Julai hingga 31 Ogos itu turut menawarkan telefon bimbit Vivo V17Pro untuk lima pemenang dan peralatan elektrik (50 pemenang).

“Kempen ini bertujuan menggalakkan pemilik harta jelaskan cukai taksiran sekali gus merebut hadiah menarik. Syaratnya akaun perlu berbaki kosong sehingga 31 Ogos dan membayar cukai taksiran setahun untuk tahun ini tanpa tunggakan,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Shahrin mengingatkan pemegang harta menunaikan tanggungjawab itu sekali gus membantu MBSA menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan selenggara infrastruktur serta pembinaan taman awam.

Pembayaran cukai boleh dibuat sama ada di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam atau secara dalam talian di www.mbsa.gov.my.

Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1203, 1295, 1522, 1531, 1656 dan 1657 atau layari portal eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :