AGENDAEKONOMINASIONAL

Kontrak hadapan minyak sawit mentah diniaga dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dalam jajaran kecil di antara RM2,300 dengan RM2,350 satu tan minggu depan menjelang pengumuman prestasi industri minyak sawit bagi Jun 2020, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan, Interband Group of Companies, Jim Teh berkata data itu, yang lazimnya dikeluarkan pada 10 hari bulan setiap bulan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), akan memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan stok negara kepada peniaga serta pelabur untuk mereka menentukan langkah seterusnya dalam pasaran.

“Bagaimanapun secara keseluruhan, pasaran MSM mencatatkan prestasi baik berbanding dengan pasaran ekuiti, walaupun dalam keadaan dilanda pandemik Covid-19. Kita berharap momentum ini berterusan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran ini diniagakan bercampur-campur kebanyakannya menjejaki prestasi minyak mentah, susulan kebimbangan terhadap gelombang kedua pandemik itu dan permintaan belian.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi serahan Julai 2020 susut RM52 kepada RM2,421 satu tan; Ogos 2020 turun RM37 kepada RM2,390 satu tan; September 2020 kurang RM10 kepada RM2,358 satu tan manakala Oktober 2020 meningkat RM6 kepada RM2,348 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 228,676 lot daripada 193,822 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 238,796 kontrak daripada 238,188 kontrak.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan turun RM60 kepada RM2,440 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :