Serbuan ke atas beberapa buah premis perniagaan di Kota Warisan, Sepang pada 1 Jun 2022 kerana disyaki melakukan kegiatan penggunaan elektrik secara curang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat premis di Sepang disyaki curi elektrik diserbu

SEPANG, 1 JUN: Empat premis di sekitar Kota Warisan di sini dikesan menggunakan elektrik secara curang yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM720,000 untuk tempoh enam bulan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam operasi dijalankan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang diketuai Timbalan Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Ahmad Tazmin Mohd Noordin hari ini, ST berjaya memasuki sebuah rumah kedai yang disyaki terlibat dengan kegiatan curi elektrik dan menjumpai 72 mesin melombong bitcoin.

“Intipan terhadap premis ini telah dibuat sejak Disember lepas apabila pihak kami mendapati ada berlaku gangguan elektrik di kawasan sekitar,” katanya kepada media ketika operasi itu.

Beliau berkata TNB juga telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di tiga premis lain yang disyaki.

Ahmad Tazmin berkata siasatan terhadap pemilik premis atau penyewa yang terlibat dibuat di bawah Seksyen 37 (1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Penggunaan elektrik secara curang boleh menyebabkan masalah keboleharapan bekalan elektrik serta memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :