AGENDAJENAYAH

Polis tahan juruteknik komputer terlibat aktiviti melombong bitcoin

KOTA BHARU, 3 JUN: Polis menahan seorang juruteknik komputer kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perlombongan mata wang bitcoin dan penyambungan elektrik secara haram di sebuah premis di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan polis bersama tiga juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuantan, membuat siasatan berkaitan kecurian elektrik di premis terbabit.

Beliau berkata ketika tiba di premis itu terdapat seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga juruteknik komputer dan mengaku sebagai pemilik premis.

“Anggota polis dan kakitangan TNB telah masuk dan membuat pemeriksaan di dalam dan luar rumah dan mendapati ada aktiviti pemasangan mesin bitcoin dan mencuri arus eletrik secara haram.

“Susulan itu lelaki terbabit telah ditahan dan merampas pelbagai peralatan seperti 37 unit mesin ‘BitCoin’ pelbagai jenis, empat unit blower, lapan penghala wifi, empat suis utama TNB, 12 papan litar kekunci, sebuah monitor dan sebuah papan kekunci bernilai RM35,000 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata siasatan awal mendapati premis dua tingkat itu dijadikan tempat melombong bitcoin dengan menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram.

“Ini adalah kes pertama melibatkan melombong bitcoin di Pasir Mas tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :