Antara koleksi gambar suasana kebun di Pusat Komuniti Kebun Bangsar. Foto Facebook Kebun-kebun Bangsar
AGENDA NASIONAL

Pusat komuniti kebun Bangsar dikenakan tindakan kerana bela haiwan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar di sini, kerana berlakunya pelanggaran syarat Lesen Pendudukan Sementara (LMS) bagi maksud nurseri.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata syarat-syarat bagi maksud nurseri yang diluluskan termasuklah jenis tanaman dan juga tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti mana ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“PPTGWP juga menerima aduan kacau ganggu daripada penduduk setempat secara bertulis dan lisan yang berpunca dari kebun berkenaan.

“Siasatan mendapati kebun itu menjadi tempat pemeliharaan pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus menimbulkan isu lain seperti pencemaran bau, lalat dan gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PPTGWP sentiasa menyokong usaha ke arah kebun bandar selaras dengan hasrat kerajaan, bagaimanapun pematuhan kepada syarat-syarat LMS perlu dipatuhi bagi kebaikan semua pihak.

-BERNAMA

 


Pengarang :