Pegawai polis memeriksa motosikal yang ditahan dalam operasi di kawasan perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian cadang denda hingga RM10,000 hukum pelumba haram

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kadar denda terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram akan dinaikkan dari RM300 kepada RM5,000 hingga RM10,000 selain hukuman penjara.

Tindakan tegas juga bakal dikenakan kepada penonton aktiviti itu termasuk pemilik bengkel yang terlibat dalam ubah suai motosikal bagi kegiatan tersebut, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, cadangan itu akan dikemukakan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk kali ketiga.

Beliau menjelaskan pindaan itu susulan kejadian lima maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown bulan lalu.

“Hasil perbincangan (bersama polis) membawa kepada penyelesaian jangka pendek serta panjang iaitu pemindaan akta berkenaan dan sepatutnya dibentang di Parlimen pada Oktober, namun tidak sempat kerana laporan penuh kemalangan baru sahaja diterima.

“Ia akan dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja membabitkan pelumba haram dan mat rempit tetapi kepada semua yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kemalangan yang meragut tiga nyawa di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang.


Pengarang :