Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli (tiga, kiri) bersama Pengerusi Yayasan MRCB Datin Jasmine Abdullah Heng (tiga, kanan) menyampaikan sijil perakuan gerai burger kepada dua ibu tunggal selepas merasmikan Majlis Pelancaran Burgernita anjuran Yayasan MRCB di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 9 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yayasan MRCB bantu ibu tunggal, taja gerai burger dan perkakas bernilai RM7,000

SERDANG, 9 OGOS: Yayasan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menaja gerai burger kepada dua ibu tunggal kurang berkemampuan di Selangor untuk memulakan perniagaan.

Projek perintis ‘Burgernita’ dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO) serta Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) bertujuan meningkatkan taraf ekonomi golongan terbabit.

Pengerusinya berkata penerima Norizan Yahaya, 60, dan Syarifah Rokiah Syed Harun, 64, yang masing-masing berniaga di Semenyih serta Serdang Raya diberi perkakas lengkap dengan jumlah maksimum RM7,000 selain latihan.

“Saya teruja dapat melaksanakan projek ini bagi membantu ibu tunggal daripada kelompok berpendapatan rendah (B40) supaya mereka mempunyai pendapatan stabil untuk menyara keluarga.

“Bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang mungkin tiada peluang untuk berniaga disebabkan kekangan modal. Kita akan terus perkasa golongan terbabit melalui program lain pada masa depan,” kata Datin Jasmine Abdullah Heng.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sijil bantuan kepada ibu tunggal terbabit yang disampaikan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati berkata Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) memulih serta membangunkan ekonomi ibu tunggal.

Beliau turut menyifatkan projek tersebut pelengkap kepada inisiatif negeri sedia ada seperti skim pinjaman perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Saya difahamkan Burgernita adalah projek kedua dilaksanakan Kelab Wanita Ikon Wanita yang mendapat tajaan MRCB. Ia satu perkembangan positif dan amat berterima kasih kepada pihak terbabit.

“Kita akan kenal pasti beberapa ibu tunggal di Selangor melalui pusat khidmat masyarakat dan NGO setempat untuk terlibat dalam projek ini memandangkan MRCB mencari 10 orang untuk ditaja,” katanya.


Pengarang :