Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta selepas merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai sempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selayang. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Naik taraf kemudahan pelancongan antara fokus Belanjawan Selangor 2023

SELAYANG, 11 SEPT: Penambahbaikan kemudahan di pusat pelancongan negeri antara fokus penting dalam Belanjawan Selangor 2023, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini aspek pelancongan turut diberi penekanan dalam belanjawan negeri, namun lebih bertumpu kepada promosi untuk merancakkan industri pascapandemik Covid-19.

Menurutnya naik taraf kemudahan di lokasi pelancongan perlu dibuat berikutan Selangor menjadi destinasi tumpuan pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Misalnya di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves yang popular dengan sukan lasak. Saya sendiri mengikuti perkembangan di sini, dahulunya tiada apa-apa tetapi lama-kelamaan ditambah baik dan jumlah pengunjung bertambah.

“Kita perlu tambah sedikit lagi nilai (di Gua Damai), mungkin meletakkan papan tanda selain menyediakan kedai makan, wakaf dan tandas untuk memudahkan pengunjung.

“Kita juga menaik taraf restoran dan tandas di SkyMirror, Kuala Selangor kerana pengunjung biasanya menghabiskan masa setengah hari di situ,” katanya selepas merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi dan Orang Besar Daerah Gombak Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sebelum ini penambahbaikan kemudahan pusat pelancongan dan tarikan setempat menggunakan dana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat persendirian.

“Jadi saya lihat kalau Kerajaan Negeri dapat belanjakan akan membantu (penambahbaikan infrastruktur pelancongan),” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2022 menyediakan inisiatif berjumlah RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membantu penggiat pelancongan antaranya geran pemulihan serta promosi pascapandemik.

Usaha merancakkan semula industri itu turut membabitkan pembangunan aplikasi rasmi pelancongan negeri, Go Selangor.


Pengarang :