Pemilik syarikat Muhammad Syakireen Othman, 36, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 24 Januari 2023 atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM17,500 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pada 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pemilik syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu insentif penjana

ALOR SETAR, 24 JAN: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM17,500 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pada 2021.

Muhammad Syakireen Othman, 36, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wanjah di sini antara Jun 2021 hingga Julai 2021, dengan mengemukakan dokumen atas nama syarikat Round Globe Enterprise yang mengandungi butiran palsu, iaitu senarai nama pekerja yang bukan pekerja syarikat itu kepada ejen Perkeso.

Kesemua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin memohon mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan perlu menyara seorang isteri bersama dua anak berusia lima dan enam tahun, selain ibunya serta dua saudara yang merupakan orang kurang upaya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Terdahulu di mahkamah sama, seorang sarjan polis Muhamad Fitry Ismail, 32, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,500 pada 2020 lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan itu daripada seorang lelaki, setelah membantu menyelesaikan kesalahan yang dihadapi individu terbabit di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada 11.34 malam, 18 November 2020.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan 6 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Fauzee Azizan.

– BERNAMA

 


Pengarang :