Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama ketika mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa pada Jelajah Menteri Besar Sempena Tahun Baru Cina Parlimen Gombak di Taman Melawati, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kunjungan MB ke rumah masyarakat Tionghoa disambut ahli keluarga berbaju Melayu

GOMBAK, 24 JAN: Kunjungan Dato’ Menteri Besar ke rumah salah seorang penduduk Tionghoa di Parlimen Gombak sempena Tahun Baharu Cina hari ini disambut dengan dua ahli keluarga kediaman itu berpakaian baju Melayu.

Pesara, Tony Ang, 74, berpakaian baju Melayu hijau manakala anak lelakinya, Adrian Ang, 45, memakai baju Melayu ungu dan mereka lengkap dengan samping serta songkok.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa ketika Jelajah Menteri Besar Sempena Tahun Baru Cina Parlimen Gombak di Taman Sri Gombak, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tony berkata dia dan anaknya berpakaian persalinan baju Melayu lengkap itu bagi melambangkan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Saya memakai baju Melayu hari ini walaupun pada sambutan Tahun Baharu Cina demi perpaduan dan keharmonian.

Tony Ang, 74

“Tiada apa yang diharapkan tahun ini selain saya sihat, negara makmur dan rakyat gembira,” katanya.

Selain itu katanya kehadiran Dato’ Seri Amirudin Shari ke rumahnya hari ini juga adalah penghormatan besar buatnya dan keluarga.

“Saya bukan orang besar atau terkenal, tak sangka beliau sanggup datang. Ia satu penghormatan kepada saya dan keluarga.

“Lebih kurang seminggu sebelum hari ini saya dapat tahu beliau mahu datang dan kami sangat teruja,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan Amirudin ke rumahnya di Taman Sri Gombak.

Tony yang juga Penasihat Persatuan Warga Emas Sri Gombak berkata kunjungan itu bukti Amirudin adalah pemimpin mesra rakyat dan mementingkan perpaduan antara kaum.

Amirudin bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa menyantuni masyarakat Tionghoa sekitar Parlimen Gombak menerusi jelajah sempena Tahun Baharu Cina.

 


Pengarang :