Pelajar mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peperiksaan SPM 2022 bermula esok, babitkan 403,637 calon

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula esok hingga 15 Mac, melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

“Semua calon diingatkan agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

KPM turut mengingatkan para calon untuk mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.

– BERNAMA


Pengarang :