Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM10 juta segerakan edar 20,000 terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak RM10 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi edaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden dan bahasa asing utama dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan usaha tersebut sebagai simbolik penuh hikmah dan matang susulan insiden pembakaran kitab suci itu di Sweden, baru-baru ini.

“Pada 27 Januari, saya umumkan kita akan mencetak sejuta naskhah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci itu di Sweden baru-baru ini.

“Untuk tujuan ini, RM10 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden dan bahasa asing utama dunia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, perdana menteri menjelaskan proses cetakan al-Quran dilaksanakan Yayasan Restu di Putrajaya, dengan kos ditanggung kerajaan dan sumbangan wakaf oleh orang awam.

Pada 21 Januari, pemimpin parti politik sayap kanan Sweden Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Pemimpin itu bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).


Pengarang :