Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad bergambar bersama peserta pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amal baca al-Quran, jadikan rutin bukan hanya Ramadan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Individu beragama Islam disaran melatih diri mengamalkan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya seminggu sekali dan berusaha menjadikannya rutin.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berkata sebaliknya jangan jadikan amalan itu sekadar dibaca pada bulan Ramadan sahaja.

“Amat digalakkan terutama golongan muda, wanita, suri rumah walaupun duduk di rumah kita baca sekurang-kurangnya seminggu satu juzuk, latih diri nanti lama-kelamaan satu hari satu juzuk.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berucap pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya harap amalan ini kita dapat buat secara konsisten dan tidak hanya pada bulan Ramadan… dalam membaca al-Quran jangan lupa muhasabah dan refleksi diri adakah kita bersungguh-sungguh menunaikan ibadah sebagai seorang hamba Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Masdiana turut memuji program anjuran Kerajaan Negeri itu dan berharap dapat dijadikan acara bulanan selain menarik lebih ramai peserta pada masa akan datang.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, EXCO wanita dan keluarga berkata hampir 1,000 peserta dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri, Wanita Berdaya Selangor dan badan bukan kerajaan turut terlibat sama dalam program berkenaan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud majlis itu bertujuan meraikan keberkatan Ramadan melalui amalan bacaan al-Quran dan antara pengisian adalah mengupas topik Quran dan wanita serta turut diadakan sesi ceramah.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, program pengisian rohani sebegini sangat dititikberatkan seperti mana inisiatif yang dibawa oleh Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) menerusi Satu Hari Satu Ayat.

“Kekuatan spiritual sangat penting untuk diberi perhatian dalam kita membina dan memberdaya manusia. Saya harap program ini diterapkan dalam aktiviti di peringkat Pusat Wanita Berdaya Selangor,” katanya.

Antara peserta yang hadir pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 20 ibu tunggal terpilih sekitar negeri ini dengan menerima bantuan bakul rahmah dan wang tunai RM200 setiap seorang.


Pengarang :