Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama rakyat Malaysia pada majlis berbuka puasa di Tahfiz Darul Hidayah, Madinah pada 19 April 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tertarik tahfiz Madinah guna modul Madani, hasrat perluas di Selangor

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 APRIL: Dato’ Menteri Besar tertarik dengan penggunaan modul Madani yang digunakan rakyat Malaysia di Tahfiz Darul Hidayah, Madinah bagi meningkatkan bacaan al-Quran.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang kini menunaikan ibadah umrah memaklumkan modul yang dibangunkan Masjid Nabawi memberi ruang kepada umat Islam untuk lebih mendalami al-Quran.

Beliau yang berbuka puasa di tahfiz berkenaan malam tadi turut berhasrat untuk bekerjasama dengan Akademi Literasi Al-Quran di Selangor bagi memberdaya pembacaan kitab suci itu.

“Syukur petang 28 Ramadan dapat iftar bersama rakyat Malaysia di Tahfiz Darul Hidayah di Madinah. Tahfiz ini gunakan modul Madani yang dibangunkan Masjid Nabawi.

“Beri ruang rakyat Malaysia tingkat bacaan al-Quran. Sangat tertarik dan akan usaha kerjasama dengan Akademi Literasi Al-Quran pada masa depan,” kongsinya di Facebook.

Amirudin turut memaklumkan Selangor menyediakan dana RM1 juta dalam Belanjawan 2023 bagi membangunkan akademi berkenaan di seluruh daerah.

Beliau menjelaskan usaha itu mengambil kira kejayaan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) membangunkan akademi yang mampu melatih lebih 150 pelajar setahun.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor menubuhkan Akademi Literasi Al-Quran bagi melahirkan umat Islam yang mahir membaca, mengajar, mengamal dan memperseni kitab suci.

Akademi yang dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut melantik 60 pensyarah bagi memberdaya pembacaan al-Quran.

 

 


Pengarang :