EXCO Perumahan Rodziah Ismail (empat, kanan) meninjau projek terbengkalai lebih 20 tahun di Kampung Koskan, Serendah, Hulu Selangor pada 19 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk lega isu rumah terbengkalai 20 tahun selesai, hadiah sambut Aidilfitri

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 20 APRIL: Selepas lebih 20 tahun menanti pemilik lot banglo terbengkalai di Kampung Koskan lega rumah itu kini boleh didiami.

Lebih menggembirakan hadiah berharga itu diterima di saat umat Islam bakal meraikan Aidilfitri pada esok atau Sabtu ini.

Wakil penduduk yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Leftenan Kolonel (B) Abdul Aziz Mahmud, 61, bersyukur kerana menjadi antara 42 pemilik yang bakal mendiami lot banglo terbabit.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu menyelesaikan isu berbangkit sekian lama, sehinggakan ada enam pemilik telah meninggal dunia selain yang tidak mampu melunaskan pinjaman bank.

“Rata-rata pemilik kini berusia 60 tahun, kami tunggu lebih 20 tahun nak memiliki rumah akhirnya hari ini (semalam) infrastruktur siap, insya-Allah Aidilfitri ini kita dapat menyambutnya dengan lebih baik,” katanya.

Leftenan Kolonel (B) Abdul Aziz Mahmud. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada lawatan EXCO Perumahan Rodziah Ismail ke tapak projek terbengkalai pembesaran Kampung Koskan, Serendah di sini semalam.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, semua pemilik masih perlu menanggung kos pembaikan rumah antara RM60,000 hingga RM70,000.

“Terdapat rumah yang sudah tidak mempunyai sistem pendawaian, pintu dan tingkap rosak selain dicuri jadi kita kena mulakan proses pembinaan semula sebelum dapatkan kelulusan kelayakan menduduki daripada pihak berkuasa,” katanya.

Projek Pembesaran Kampung Koskan bermula pada 2000 dan dijual dengan harga jualan RM97,500 seunit melalui pinjaman bank dan bayaran tunai.

Pembinaan projek berkenaan hanya berjalan lancar pada dua tahun pertama sebelum tergendala dengan pelbagai masalah membabitkan pemaju yang gagal menyiapkan rumah dan kemudahan infrastruktur selepas diisytihar muflis pada 17 Oktober 2012.

Masalah itu menyebabkan pembeli terikat hutang bank sehingga kini biarpun projek perumahan itu terbengkalai.


Pengarang :