Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia sempena lawatannya ke UiTM pada 7 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Bantuan e-dompet RM200 diperluas kepada semua mahasiswa

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan akan memperluas bantuan e-Dompet 2023 kepada semua mahasiswa yang berkelayakan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan berkenaan.

“Saya akan putuskan supaya e-Dompet boleh dimanfaatkan semua mahasiswa,” katanya ringkas pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se-Malaysia di sini hari ini.

Isu itu dibangkitkan oleh seorang wakil pelajar yang mendapati Belanjawan 2023 meletakkan kategori penerima bantuan e-dompet berjumlah RM200 adalah individu berusia 18 hingga 20 tahun, menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak mendapat manfaat selain tidak boleh memohon bantuan bagi kategori bujang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia selepas sesi dialog sempena lawatannya ke UiTM pada 7 April 2023. Foto BERNAMA

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan bahawa Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan beberapa rancangan segera bagi memastikan akses Internet di semua kampus di seluruh negara dalam keadaan baik.

“Arahan kita sekarang untuk Kerajaan Perpaduan, syarat pertama mesti memastikan akses (Internet) ini menyeluruh di seluruh negara,” katanya.

Menjawab pertanyaan berkaitan harga tiket penerbangan domestik yang tinggi, Perdana Menteri berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berhubung perkara itu.

“Tetapi ini di luar skop kerajaan (harga tiket penerbangan) kecuali dengan beri subsidi. Ini masuk akal dan mungkin kita perlu berunding dengan syarikat penerbangan. (Mungkin) setahun sekali diberikan… boleh, nanti kita bincang,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :