Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menguji tahap kualiti air sungai di tapak lapangan pada 23 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sumber air dipantau 24 jam pastikan tiada pencemaran sepanjang Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 APRIL: Selangor bersiap siaga untuk memastikan tiada insiden yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) dan bekalan kepada pengguna sepanjang Aidilfitri.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Ops Sumber Air 24 jam terus dilaksana dan dipertingkat supaya sebarang permasalahan kualiti sumber air dicegah dan diambil tindakan segera.

Beliau menjelaskan operasi tanpa henti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dijalankan di
lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat meliputi rondaan serta pemantauan statik.

“Kerajaan Negeri juga bersiap siaga dengan pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi komponen sumber air tambahan di Sungai Selangor dan kolam takungan di Sungai Semenyih.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas lawatan tapak bagi menyelesaikan isu lori keluar dan masuk ke kuari menggunakan jalan perumahan yang menyebabkan kerosakan jalan dan kemalangan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada 5 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“(Ia turut meliputi) projek rawatan biologikal/bio-remediation yang sedang dilaksanakan di Sungai Gong dan Sungai Sembah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian turut menyeru semua pihak supaya tidak mengambil mudah pengurusan sisa yang terhasil daripada aktiviti harian, komersil, penyelenggaraan, efluen industri, pertanian dan perladangan.

Beliau menegaskan pengurusan sisa itu perlu dibuat dengan baik sepanjang musim perayaan supaya ia tidak memberi kesan kepada sumber air dan menjejaskan bekalan kepada pengguna.

“Air sisa yang dihasilkan perlu dirawat atau disalurkan melalui sistem ditetapkan seperti kolam rawatan atau sistem kumbahan dan bukan dilepaskan ke dalam longkang, parit dan sungai,” katanya.

Orang ramai yang mengesan sebarang aktiviti mencurigakan boleh melaporkannya kepada LUAS melalui Whatapp 019-2647904 atau e-mel [email protected].

Pemberi maklumat yang membolehkan siasatan berjaya menemukan pelaku bawah Enakmen LUAS 1999
akan diberikan perlindungan, sagu hati dan ganjaran.


Pengarang :