PBTSELANGOR

Hampir 3,000 kes denggi di Subang Jaya, majoriti di kediaman bertingkat

Oleh Diana Abd Wahab

SUBANG JAYA, 24 MEI: Sebanyak 2,945 kes demam denggi direkod di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) minggu lalu, meningkat 1,292 kes berbanding 1,653 dalam tempoh sama tahun lalu.

Datuk Bandar Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kes membabitkan 12 kawasan titik panas dengan lapan daripadanya di kawasan kediaman bertingkat.

“Tindakan pengasapan (fogging) tidak dapat menyelesaikan masalah ini kerana hanya membunuh nyamuk sahaja. Kita harap komuniti dapat dilibatkan kerana penyertaan yang baik mampu jayakan program.

“Ahli majlis diharap bincang lebih lanjut dengan pengurusan kediaman supaya komuniti turut sertai program yang kita anjurkan,” katanya dalam mesyuarat bulanan MBSJ hari ini.

Mohd Fauzi turut menasihatkan pihak pengurusan dan penghuni kediaman menjaga kebersihan persekitaran dan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes.

Penduduk juga dinasihat membuat semburan aerosol dalam premis dan menggunakan penyembur pencegah serangga apabila keluar terutama mereka yang tinggal di kawasan wabak denggi.


Pengarang :