Gelagat dua pelajar menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan susulan cuaca panas yang melanda sementara menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang dari sekolah di Bandar Seri Jempol pada 2 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian benarkan murid, guru pakai baju sukan ketika cuaca panas

SHAH ALAM, 3 MEI: Murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibenar memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas.

Kementerian itu dalam kenyataan di Facebook hari ini turut memaklumkan pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah bagi mengelak komplikasi kesihatan.

“Pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana,” katanya.

KPM berkata pihaknya sentiasa menitik berat kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan ketika ini.

Menurut kementerian itu lagi, fenomena tersebut adalah keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap dan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sebelum ini, KPM mengeluarkan garis panduan yang membenarkan penutupan sekolah jika cuaca panas pada tahap amaran dua dengan suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Semua aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah juga perlu dihentikan jika suhu harian pada tahap amaran pertama melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama adalah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.


Pengarang :