Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat, bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kesihatan makin teruk, penyanyi Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia

SHAH ALAM, 8 MEI: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memerintahkan penyanyi nasyid Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk diperiksa tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam belanya Ariff Azami Hussein mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah, lapor Berita Harian.

Dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, Ariff Azami memberitahu mahkamah terdapat asas kuat untuk pakar psikiatrik memeriksa kesihatan mental penyanyi berusia 48 tahun itu.

“Pembelaan mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Kecelaruan Bipolar Tahap I sejak 2007.

“Laporan Pusat Pakar Universiti Malaya menunjukkan anak guam saya pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya. Keadaan mental dan kesihatannya juga makin merosot,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun ini untuk mengemukakan laporan psikiatrik.

Sebelum ini, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati selepas dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 214 gram, Mac lalu.

Bagaimanapun, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki kanabis seberat 193.7 gram, yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta tidak kurang 10 sebatan.


Pengarang :