Johan hafazan Muhammad Izzul Affan Sazali (kanan) dan naib johan hafazan Muhammad Izzul Afnan Sazali (kiri) bergambar selepas majlis penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasangan kembar asal Sijangkang ungguli hafazan al-Quran peringkat negeri

SHAH ALAM, 13 MEI: Pasangan kembar melakar kenangan manis apabila mengungguli johan dan naib johan bagi kategori hafazan al-Quran 1 hingga 30 juzuk peringkat Selangor, malam tadi.

Johan hafazan Muhammad Izzul Affan Sazali, 19, turut memenangi anugerah peserta terbaik keseluruhan manakala abangnya Muhammad Izzul Afnan Sazali, 19 merangkul naib johan kategori sama.

Mengakui terkejut apabila namanya diumum johan, Muhammad Izzul Affan menyangka anugerah itu sepatutnya diberi kepada abangnya.

Muhammad Izzul Affan Sazali. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pada mulanya saya tidak sangka kemenangan berpihak kepada saya kerana bagi saya bacaan dan tajwid abang (Muhammad Izzul Afnan) lebih lancar dan sedap didengar.

“Apapun, saya amat bersyukur dan terima kasih kepada ibu bapa yang mendidik dan sentiasa menyokong kami,” katanya yang masing-masing berguru dengan bapanya yang juga seorang mudir di maahad tahfiz swasta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Berkongsi amalan diterapkan mereka berhubung hafazan, Muhammad Izzul Affan berkata beliau bersama abangnya berlatih setiap hari dan sering mengulangi bacaan ayat al-Quran.

“Setiap hari kami luang masa hampir lapan jam untuk uji daya ingatan dengan menghafal bacaan al-Quran sebagai contoh kami akan hafal ayat pertama sehingga ingat dan akan pergi kepada ayat kedua dan seterusnya kemudian ulang semula,” katanya.

Johan hafazan Muhammad Izzul Affan Sazali mengalunkan ayat suci Al-Quran sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Muhammad Izzul Affan memperoleh 95.80 peratus mengatasi abangnya Muhammad Izzul Afnan yang mendapat 95.30 peratus markah, pasangan kembar berasal dari Sijangkang yang mewakili daerah Kuala Langat.

Muhammad Izzul Affan Sazali dinobatkan Peserta Terbaik Keseluruhan Hafazan al-Quran dari juzuk 1 hingga 30 berjaya membawa pulang kepingan emas (gold bar) bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000 manakala Muhammad Izzul Afnan menerima wang tunai RM8,000.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang.Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qari Izzat Aziz zainal sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :