Pengunjung memilih pelbagai barangan pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk hargai jualan murah Kerajaan Negeri, bantu jimat belanja dapur

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 19 MEI: Lebih 10 kali berbelanja di Jelajah Ehsan Rakyat (JER), seorang suri rumah mengakui jualan murah anjuran Kerajaan Negeri banyak membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarganya.

Masni Tamin, 56, berkata barangan asas yang dijual pada harga murah melegakan memandangkan dia dan suami hanya mengharapkan wang simpanan kerana sudah tidak bekerja.

Masni Tamin, 56. Foto Diana Abd Wahab/ SELANGORKINI

“Harga murah dan barang berkualiti antara faktor saya suka berbelanja di jualan murah ini. Dengan hanya RM50 saya dapat beli ayam, beras, telur, daging dan ikan.

“Saya beli lauk setiap kali ada jualan murah di sini,” katanya ditemui pada program jualan murah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara di sini semalam.

Hassan Mokhtar, 72, pula memilih membeli di jualan murah negeri kerana barangan keperluan asas berkualiti dan segar selain harga murah.

Hassan Mokhtar, 72. Foto Diana Abd Wahab/ SELANGORKINI

“Pakcik sudah bersara dan hanya mengharapkan belanja daripada anak-anak jadi memang cuba berjimat dengan beli barang di sini.

“Ayam bersaiz besar hanya RM10 seekor dan beras sekampit juga RM10. Walaupun murah namun beras berkualiti, jadi pakcik memang pilih barang keperluan di sini,” katanya yang sudah empat kali membeli di jualan murah negeri.

Penghantar makanan, Hakimah Mohd Yunus, 40, datang seawal 9 pagi sebelum memulakan kerja semata-mata untuk mendapatkan barang keperluan pada harga murah.

Hakimah Mohd Yunus, 40. Foto Diana Abd Wahab/ SELANGORKINI

“Saya dapat berjimat hampir RM300 sebulan bila beli barang keperluan di sini. Memang lega dapat jimatkan perbelanjaan dapur memandangkan pendapatan sebagai penghantar makanan tidak seberapa.

“Selepas beli saya hantar dulu ke rumah sebelum mula bekerja. Saya datang awal walaupun jualan mula 10 pagi kerana mahu cepat hantar makanan jika tidak tak dapat capai pendapatan harian yang saya sasarkan,” katanya.

Pengawal keselamatan Maiyandi Ramachandran, 63, yang pertama kali membeli di jualan murah mengakui terkejut dengan harga ditawarkan.

“Harga murah, saiz ayam besar telur juga bersaiz besar di luar harga gred C lebih RM11 di sini gred B hanya RM10.

Maiyandi Ramachandran, 63. Foto Diana Abd Wahab/ SELANGORKINI

“Saya harap program seperti ini diteruskan kerana ia beri peluang golongan miskin beli barang keperluan seperti ayam dan telur,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Orang ramai menunggu giliran membeli barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Pada minggu terakhir Ramadan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Baru-baru ini PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :