Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Rumah ahli perniagaan Malaysia di Pakistan ditembak

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Ahli perniagaan Malaysia bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga selepas kediaman mereka di Pakistan didakwa diserang sekumpulan mafia tempatan dengan peluru baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berasal dari Pakistan itu, Datuk Mohammad Tahir Rahat turut meminta bantuan Wisma Putra berhubung keselamatan keluarganya.

Mohammad Tahir mendakwa, serangan mafia itu dikatakan berpunca daripada tindakan kumpulan itu yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun temurun di daerah Hisari Nehri, Pakistan.

Dalam kejadian Ahad lalu, beliau mendakwa 200 mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumahnya sekitar jam 7 pagi menyebabkan beliau juga terpaksa berbalas tembakan dengan mereka, lapor Harian Metro.

Kejadian itu berlarutan sehingga jam 8.30 pagi sehingga pihak polis tiba. Namun, kedatangan mereka hanya menyuraikan tembak menembak bukan menghentikan kegiatan mafia berkenaan.

“Kumpulan mafia berkenaan sudah merampas tanah milik saya buat masa sekarang dan mereka juga membina tembok pengadang serta menara peninjau di kawasan berkenaan,” dakwanya.

Beliau berkata, mafia terbabit turut bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke rumahnya itu dari jam 7 pagi hingga 7 malam supaya tiada bantuan dapat diberikan.

Mohammad Tahir yang berasal dari Pakistan berhijrah ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu pada sekitar akhir 1980-an dan berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan.


Pengarang :