Penerima dari DUN Kota Anggerik menunjukkan baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri yang diterima di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Bantuan naik RM200, Jom Shopping gembirakan warga Selangor sambut raya

OLEH ALANG BENDAHARA

SHAH ALAM, 5 MEI: Bermula pemberian hamper barangan keperluan harian bernilai RM42 kepada golongan miskin sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali kira-kira 15 tahun lalu, insentif berkenaan diperkemas Kerajaan Negeri selaras peredaran masa.

Sejak 2013, bantuan diubah kepada pemberian baucar RM100 yang boleh ditebus di pasar raya terpilih menerusi program Jom Shopping Perayaan, salah satu inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Menyedari kos sara hidup yang menekan ketika ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peningkatan bantuan kepada RM200 pada 2023.

Had pendapatan bulanan isi rumah pemohon pula ditingkatkan kepada RM3,000 sebulan berbanding RM2,000 sebelum ini. Pakej turut diperluas kepada peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Sejak 2013 hingga tahun ini, hampir RM100 juta dibelanjakan untuk membiayai program berkenaan yang memanfaatkan lebih 830,000 isi rumah.

Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berikut reaksi penerima baucar Jom Shopping Perayaan dalam kalangan umat Islam yang menyambut Aidilfitri. Mereka ditemu bual pada 2 April.

 

Abdul Wahab Said, 68

“Baucar ini saya gunakan membeli barangan untuk persiapan hari raya serta keperluan harian. Ia amat membantu mengurangkan perbelanjaan saya untuk raya.”
Abdul Wahab Said, pesara swasta, 68

“Saya bersyukur kerana jumlah bantuan dinaikkan kepada RM200 pada tahun ini memandangkan harga barang semakin mahal. Penebusan baucar seperti ini lebih cepat dan mudah.”
Raja Johari Raja Musa, pengawal keselamatan, 63

 

Noraszaliza Mohd Sazali, 38

“Syukur ada rezeki sempena Ramadan ini, baucar ini nanti akan saya guna untuk keperluan barang basah ketika Aidilfitri nanti. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang membantu memeriahkan sambutan kami sekeluarga.”
Noraszaliza Mohd Sazali, pekerja swasta, 38

“Program ini membantu saya yang kehilangan kerja ketika Covid-19. Selepas Dato’ Menteri Besar umum saya terus daftar. Baucar ini dapat menolong keperluan saya dan dua anak yang masih belajar, boleh beli keperluan Aidilfitri.”
Zuraidah Shaari, pesara swasta, 60

 

Norazmah Jamanshah, 61

“Saya gembira kerana Kerajaan Negeri membantu meringankan rakyat dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Jom Shopping Perayaan. Kenaikan nilai baucar ini membantu menghadapi kos sara hidup semakin meningkat.”
Norazmah Jamanshah, ibu tunggal, 61

“Saya bukan orang senang dan bila dapat sumbangan macam ini amat saya hargai kerana dapat mengurangkan beban keluarga. Baucar ini akan saya gunakan untuk membeli barangan dapur dan baju raya.”
Abdul Halim Mohamad Daud, pengawal keselamatan, 53


Pengarang :