Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja turapan jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selesai isu lebih pantas, aduan jalan rosak bakal diperluas ke Facebook

SHAH ALAM, 7 JUN: Sistem aduan kerosakan jalan raya di negeri ini akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Beliau menjelaskan kaedah pelaporan kerosakan jalan raya ketika ini lebih mudah berikutan pengadu hanya perlu menggunakan tanda pagar diikuti nama jalan dan daerah.

“Insya-Allah sistem aduan ini akan diperluas ke Facebook. Kita akan sentiasa memudahkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rakyat demi kemajuan negeri ini,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin berkata Selangor menggunakan sistem pengurusan aset pintar supaya proses memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan rosak terlaksana dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau menambah setiap aduan akan ditapis dan disemak secara automatik bagi menentukan sama ada jalan terbabit kendalian Infrasel, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya.

Bermula 1 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan projek turapan mega di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer dengan peruntukan RM50 juta, yang dijadual siap penghujung Julai.

Sebelum ini, kerja membaiki jalan dilakukan Infrasel berdasarkan aduan orang ramai dengan lebih 39,000 kerja turapan dibuat antara 2021 hingga tahun lalu.


Pengarang :