Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad (kanan) dan Penasihat Pendamai Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi pada sidang media program Darul Ehsan Berselawat 2.0 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 25 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10,000 umat Islam dijangka semarak program Darul Ehsan Berselawat 2.0 Sabtu ini

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 10,000 umat Islam dijangka menyertai program Darul Ehsan Berselawat 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Sabtu ini.

Berlangsung di Stadium Malawati di sini, program dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) dijadual bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkata edisi kedua bertemakan ‘Bernafas Dalam Hawqalah – Fakir Ila Allah’ merupakan kesinambungan program julung kali pada 14 Januari lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita adakan sekali lagi program ini rentetan kejayaan edisi sulung dengan hasrat menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW selain memohon Allah SWT menghindari perkara memudaratkan rakyat negeri ini,” katanya pada sidang media di kediaman Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 di sini hari ini.

Selain selawat dan zikir munajat, program menarik lain antaranya Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah, manakala sebelah petang Himpunan Pendekar Nusantara, program khas muslimat serta pertandingan hafazan dan seni khat.

Acara itu turut menampilkan ulama dan pendakwah terkenal dalam dan luar seperti Sheikh Abu Zaki, Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Babul Mustofa.

Masdiana juga berhasrat memperluas program berkenaan ke seluruh daerah bagi menerapkan amalan zikir dan selawat dalam kalangan anak muda.

“Perkara ini memang dalam perancangan kami selain menjadi hasrat Dato’ Seri Amirudin Shari. Insya-Allah kita akan buat di peringkat daerah jika beliau diberi peluang mentadbir negeri selepas ini.

“Mungkin kita boleh buat pertandingan qasidah sebab kita mahu anak-anak muda mengalunkan qasidah daripada terpengaruh dengan muzik barat,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pendamai berkata konsep tauhid dan kasih sayang antara sesama umat Islam dititikberatkan menerusi program terbabit selari sambutan Maal Hijrah.

“Jadi kita harap umat Islam dapat hadir beramai-ramai dengan rasa cinta serta keabdian kepada Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW,” kata Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.


Pengarang :