Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera HARAPAN, BN siap sedia pertahan Selangor

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor bersiap sedia untuk mengekalkan negeri ini sebagai kubu ampuh Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua gabungan itu tekad bekerjasama bagi memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan pengkhianat dan perosak negara.

Beliau menjelaskan kerjasama dengan BN bukan hanya berlangsung menjelang pilihan raya negeri sebaliknya hubungan terjalin sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada peringkat persekutuan.

“Sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, saya beri arahan kerjasama dengan BN untuk kita pertahankan benteng dan kubu Kerajaan Perpaduan ini,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dihadapan ribuan penyokong Kerajaan Perpaduan sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Beliau berucap dalam program pelancaran Jentera Perpaduan Selangor yang disempurnakan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Baru Bangi di sini malam tadi.

Amirudin berkata beliau dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan memastikan jentera kedua-dua gabungan melangkah sederap mempertahan negeri ini.

“Yang lepas (pilihan raya umum ke-15) kita bertarung (di Gombak), kali ini kita bergandingan di Gombak dan seluruh Selangor,” katanya merujuk pertembungan mereka di Parlimen Gombak.

Menjelaskan pembahagian kerusi peringkat negeri telah selesai, beliau mengajak seluruh jentera kedua-dua gabungan itu untuk segera menggerakkan kempen penerangan kepada rakyat.

Rabu lalu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.


Pengarang :