Orang ramai mengambil kesempatan melawat pameran di tapak Karnival Perpaduan Madani Kita Selangor di Laman Niaga, Bandar Baru Bangi pada 7 Julai 2023. FOTO AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

5.24 juta penduduk dilindungi di bawah skim insurans am Selangor

HULU LANGAT, 8 JULAI: Seramai 5.24 juta individu dilindungi di bawah Skim Insurans Am Selangor (INSAN) setakat 30 Jun lalu.

Projek Koordinator INSAN Nur Syuhaida Jamalluddin berkata daripada jumlah itu kira-kira 3.5 juta adalah pengundi Selangor, bayi dan kanak-kanak berusia 30 hari hingga enam tahun (750,000).

Selain itu kanak-kanak hingga remaja berusia tujuh hingga 19 tahun (900,843) serta orang awam (81,797).

“Bagaimanapun masih ramai rakyat Selangor yang tidak tahu mengenai keistimewaan ini kerana hanya kira-kira 100 tuntutan pampasan akibat kemalangan diterima daripada pemegang polisi.

Koordinator Projek INSAN Nur Syuhaida Jamalluddin di temui di tapak Karnival Perpaduan Mani Kita Selangor di Laman Niaga, Bandar Baru Bangi pada 7 Julai 2023. FOTO AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Mereka ini ada yang didaftarkan secara automatik dalam sistem kami, jadi kita seru sekiranya ada kemalangan atau kematian berlaku boleh berhubung dengan pihak kami untuk menyemak sama ada anda berdaftar dan layak mendapat pampasan yang disediakan,” katanya.

Beliau ditemui di Karnival Perpaduan Malaysia Madani Kita Selangor dekat Laman Niaga Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Kira-kira 30 reruai yang mempromosi inisiatif negeri termasuk jualan barangan asas murah Jualan Ehsan Rakyat (JER) dan saringan kesihatan percuma disediakan sempena karnival setengah hari itu.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan untuk mendaftar INSAN dilonggar kepada pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor berbanding sebelum ini hanya pemegang kad pengenalan kod negeri ini atau pengundi di Selangor layak mendaftar.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.


Pengarang :