AGENDAJENAYAH

Kanak-kanak maut, empat cedera kemalangan bas, lori tangki

SEGAMAT, 15 JULAI: Seorang kanak-kanak maut, manakala ibunya parah selepas bas dinaiki mereka dirempuh lori tangki di Chaah, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian jam 7.10 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi penumpang dan pemandu kedua-dua kenderaan itu cedera.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 11 Hairishah Wahid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.13 pagi.

Katanya, beliau berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis dibantu BBP Yong Peng dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti membawa tiga penumpang yang dipercayai baru keluar simpang berhampiran lampu isyarat sebelum dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah lori tangki yang dalam perjalanan dari arah Chaah menuju ke Yong Peng.

“Seorang penumpang wanita berusia 45 tahun patah kaki kanan, manakala anaknya maut. Seorang lagi wanita berusia 23 tahun cedera di bahagian dada serta sesak nafas,” katanya di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Hairishah berkata, pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.

“Kedua-dua pemandu lori dan bas masing-masing berusia 65 dan 62 tahun turut cedera di kepala.

“Mangsa kanak-kanak yang berjaya dikeluarkan serta parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan operasi tamat jam 9.03 pagi.


Pengarang :