Pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) membeli barangan asas yang dijual pada harga murah di Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh pada 25 Julai 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keluarga susah tidak ikat perut lagi sejak Jualan Ehsan Rahmah diwujudkan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 25 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) memberi rahmat buat keluarga susah yang perlu mengikat perut sebelum ini walaupun hanya untuk membeli ayam.

Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nur Rashidah Mohamed Raihan berkata terdapat keluarga B40 yang mengaku hanya mampu menikmati hidangan ayam sebulan sekali namun selepas kewujudan JER, dapat menikmati menu itu sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nur Rashidah Mohamed Raihan ditemui di Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh pada 25 Julai 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI

“Ini antara maklum balas yang kita terima dan mereka amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PKPS kerana menganjurkan JER sekali gus diharap tiada lagi episod mencatu makanan.

“Selain memberi jaminan harga yang lebih murah dari pasaran, barangan ditawarkan PKPS berkualiti tinggi setanding di pasaran,” katanya ditemui pada program JER di Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh hari ini.

Sementara itu, penghantar makanan Mansur Mat Saidi, 36, berkata ini kali ketiga beliau berbelanja di jualan murah memandangkan harga barangan yang ditawarkan murah dan berpatutan berbanding pasaran.

Mansur Mat Saidi, 36, membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh pada 25 Julai 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI

“Saya sanggup beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan nombor giliran memandangkan JER sentiasa mendapat sambutan di sini,” katanya yang turut berharap jualan kelolaan PKPS itu dapat dilaksana setiap minggu di Paya Jaras.

Bagi suri rumah Maisamah Mohd Ali, 39, beliau yang kali kedua berkunjung ke JER berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu rakyat dengan menyediakan inisiatif itu.

“Sejak JER diadakan bukan saja kami dapat berjimat banyak malah tidak perlu sampai anak-anak terpaksa bercatu menikmati makanan lebih-lebih lagi keluarga besar seramai 10 orang di rumah.


Maisamah Mohd Ali, 39, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh pada 25 Julai 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI

“Lega kerana banyak dapat dijimatkan dengan berbelanja di JER. Saya berharap program ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Suri rumah, Safiah Mohd Ali, 46, berkata program itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan seperti ayam, daging, telur, minyak dan beras.

“Saya boleh beli barangan murah tetapi berkualiti di sini. Harga begini tidak dapat di mana-mana kedai atau pasar raya jadi banyak duit dapat dijimatkan di sini.

“Jika sebelum ini dengan RM50 saya hanya boleh beli dua ekor ayam, tapi dengan jumlah sama pelbagai barangan seperti ayam, telur, ikan dan daging dapat dibeli,” katanya.

Terdahulu, orang ramai membanjiri khemah jualan JER Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras sejak 8 pagi bagi mendapatkan nombor giliran malah 500 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Safiah Mohd Ali, 46, membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dataran Penjaja Delima 5 Paya Jaras, Sungai Buloh pada 25 Julai 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI

Jualan murah berkenaan menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :