Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah ketika sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 14 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PRN: Jentera HARAPAN DUN Sentosa bersedia sejak PRU15

KLANG, 14 JULAI: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa bersiap sedia sejak awal bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Penyandangnya Dr G Gunarajah berkata persiapan dibuat sejak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika berkempen memenangkan Ahli Parlimen Kota Raja Dato’ Seri Mohamad Sabu.

“Setakat ini persiapan kami begitu baik sejak PRU15 lagi sehingga ke hari ini, saya telah buat persiapan dari segi jentera di semua daerah pusat mengundi malahan penglibatan jentera juga amat ramai lebih 700 orang.

“Semalam juga saya telah duduk semeja bermesyuarat dengan beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) di DUN Sentosa untuk berbincang mengenai pelancaran Jentera Perpaduan Kota Raja di Kota Kemuning pada 20 Julai ini.

“Gerak kerja HARAPAN-BN semua berjalan baik, di bawah (akar umbi). Kita yakin PRN pertama di bawah Kerajaan Perpaduan ini akan berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Gunarajah membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Klang Selatan.

Mengulas sama ada beliau akan bertanding pada PRN, Dr G Gunarajah berkata beliau bersedia mempertahankan kerusi DUN Sentosa.

“Saya sedia pertahankan kerusi DUN Sentosa bagaimanapun saya menyerahkan keputusan kepada pimpinan parti sama ada mahu mencalonkan lagi atau tidak,” katanya.

Dewan Negeri secara rasminya dibubarkan pada 23 Jun untuk memberi laluan PRN15 diadakan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Negeri lain yang turut terlibat ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.


Pengarang :