Kejohanan e-Sukan Robotik XTIV Selangor di parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program e-Sukan tarik lebih 1,700 belia, dedah teknologi terkini, kecerdasan buatan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor yang julung kali dianjur menerima sambutan menggalakkan dengan disertai 1,712 peserta termasuk luar negeri.

EXCO sukan berkata program menggabungkan elemen robotik dan sukan elektronik melibatkan penyertaan individu berusia lapan hingga 17 tahun bagi merebut hadiah terkumpul RM24,000.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, acara kesinambungan XTIV Virtual yang dilaksana sejak tiga tahun lalu sebagai medium membangunkan bakat e-sukan selain mendedahkan anak muda dengan kecerdasan buatan (AI).

EXCO Sukan merangkap penyandang ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman beramah mesra bersama peserta kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di tapak parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita dekati belia dalam program berbentuk teknologi terkini seiring mendepani revolusi industri 4.0 (IR4.0) selain melengkapi mereka dengan kemahiran semasa supaya tidak ketinggalan.

“Alhamdulillah kita lihat penyertaan hari ini sangat berjaya kerana difahamkan ada yang datang dari Negeri Sembilan dan Melaka termasuk pernah bermain di peringkat tertinggi,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan program itu di tapak parkir Econsave, Paya Jaras, Sungai Buloh di sini, beliau menjelaskan Kerajaan Selangor sentiasa prihatin dengan keperluan dan minat belia di negeri ini.

“Kita akan bagi apa yang belia inginkan, bukan apa yang Kerajaan Negeri mahukan dan ini sebenarnya jaringan penting kita dengan anak muda.

Peserta teruja menyertai kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di tapak parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Jadi program seumpama ini diharap dapat menggalakkan mereka untuk terus bergiat aktif dalam sukan elektronik dan mencari peluang kemahiran teknologi,” katanya.

Siri kedua program dijadual berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Saujana Utama, Kuala Selangor pada 24 dan 25 Julai.

Antara aktiviti dipertandingkan ialah Robots Dream II, Tamiya, PuBG, Mobile Legends, FIFA Playstation 4 selain pameran robotik realiti maya (VR) simulator.


Pengarang :