Orang ramai beratur mengambil makanan di Dapur Kinrara di Balai Masyarakat Puchong Jaya pada 9 Julai 2023. Foto Facebook Dapur Kinrara
ADNSELANGOR

Dapur Kinrara sedia makanan tengah hari percuma, beri manfaat ribuan masyarakat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ribuan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima manfaat program Dapur Kinrara yang dilaksana sejak pandemik Covid-19.

Penyandangnya Ng Sze Han berkata program yang menyediakan makanan tengah hari setiap Ahad diagihkan kepada penduduk di Balai Masyarakat Puchong Jaya, berdepan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.

“Inisiatif ini dilaksana apabila kita lihat ramai terkesan akibat Covid-19 pada 2020 dan sehingga kini masih diteruskan. Namun jumlahnya berkurangan 300 set berbanding pada awal pelaksanaan mencecah 500 set.

“Program ini memanfaatkan semua penduduk di DUN Kinrara tanpa mengira bangsa dan agama termasuk rakyat dari negara luar. Mereka boleh mengambil dengan syarat perlu membawa bekas makanan sendiri.

“Sekiranya bekas makanan dibawa rosak kita tukar dengan baharu. Ini sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan kitar semula,” katanya dihubungi SelangorKini.

ADN Kinrara Ng Sze Han melawat Dapur Kinrara pada 4 Disember 2022 bagi meninjau proses penyediaan makanan untuk orang ramai. Foto Facebook Dapur Kinrara

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Tempatan memaklumkan program Dapur Kinrara turut mendapat perhatian daripada individu yang memberi sumbangan dan syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ada beberapa syarikat, individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan ingin menyertai program ini dan menguruskan semuanya daripada memasak sehingga agihan.

“Oleh demikian, kita pelawa sesiapa memerlukan hadir ke Balai Masyarakat Puchong Jaya mengambil makanan tengah hari yang disediakan secara percuma,” katanya.


Pengarang :