Sebuah pesawat ringan terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Elmina Central Park Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Nahas pesawat terhempas, laluan keluar masuk persimpangan Elmina ditutup

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) telaH ditutup sementara waktu berikutan insiden nahas pesawat berhampiran lokasi berkenaan, hari ini.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan laluan berkenaan ditutup sehingga lokasi nahas dibersihkan dan siasatan selesai.

“Menurut laporan awal, kemalangan turut melibatkan sebuah motosikal. Pihak bomba, polis, ambulans dan Peronda GCE kini berada di lokasi kejadian untuk membersihkan serpihan nahas dan mengawal trafik,” menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.

Untuk sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian hotline PROLINTAS di 1800 22 8888.

Menurut laporan media, 10 lelaki maut selepas pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam, Selangor.

— BERNAMA


Pengarang :