PBTSELANGOR

MPKj ambil serius keluhan peniaga pasar sementara Semenyih

SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memandang serius isu membabitkan peniaga di pasar sementara Semenyih berhubung kos sara hidup dan pembangunan infrastruktur yang perlu dibaik pulih.

Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata proses penempatan sementara ke atas peniaga telah dilaksanakan 1 Mac lalu bagi memberi ruang pembangunan semula Pasar Pekan Semenyih (tapak pasar lama) bagi kerja meroboh dan membina pasar baharu.

“Pasar sementara ini telah disediakan mengikut jumlah peniaga sedia ada melibatkan 39 peniaga terdiri daripada peniaga basah dan kering.

“Pada masa sama, kemudahan yang bersesuaian disediakan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di pasar sementara Semenyih seperti ruang simpanan peti sejuk beku, tandas, surau dan tempat letak kenderaan.

“Bagaimanapun, MPKj memandang serius terhadap isu ini yang telah dibangkitkan peniaga tersebut dan laporan berita yang disiarkan 9 Ogos lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, pembinaan semula pasar baharu sedang dalam tindakan bagi memastikan pembangunan semula berjalan lancar termasuk penyelesaian isu pewartaan tanah.

“MPKj sentiasa mengambil perhatian dan prihatin terhadap rintihan dan keperluan peniaga di pasar sementara Semenyih dengan pembangunan semula pasar baharu di lokasi lama yang telah berusia hampir 40 tahun,” jelasnya.

September tahun lalu, MPKj mengeluarkan surat berhubung pemindahan peniaga ke pasar sementara Semenyih bagi memberi laluan kepada projek menaiktaraf bangunan pasar tersebut.


Pengarang :