Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan Pelancaran Logo Baru PKPS di Dewan Orkid Wisma PKPS pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri berjaya ringankan kos sara hidup menerusi jualan murah

SHAH ALAM, 22 SEPT: Program jualan murah yang menawarkan harga murah 30 peratus berbanding pasaran luar merupakan kejayaan Selangor membantu rakyat terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) merupakan strategi intervensi Kerajaan Negeri untuk mengatasi kekurangan bekalan ayam dan telur ayam.

“Jualan murah ikhtiar Kerajaan Negeri dalam usaha membantu ringankan beban dan kos sara hidup rakyat yang ditanggung selama beberapa bulan atau tahun yang lepas.

“Ucapan saya pada malam Hari Kemerdekaan tahun lalu mengumumkan pelaksanaan program jualan murah ini juga untuk tangani masalah kekurangan bekalan dua item carian besar iaitu ayam dan telur.

“Pada musim perayaan lalu didapati bekalan tersebut sentiasa mencukupi berbanding pengalaman kita di tahun 2022 dan 2021. Ini membuktikan kita boleh bertindak dengan ‘resilience’ dan serba ‘agile’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi JER dan Pelancaran Logo Baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Dewan Orkib Wisma PKPS di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tiba bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad ke Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan Pelancaran Logo Baru PKPS di Dewan Orkid Wisma PKPS pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin turut merakam penghargaan buat seluruh warga PKPS atas usaha gigih membantu rakyat mendapatkan barang dapur murah melalui program ini.

“Pada sekitar 10 peratus hingga 15 peratus daripada simpanan yang ada pada PKPS kita gunakan untuk laksana program jualan murah ini.

“Seperti dimaklumkan EXCO pertanian, RM40 juta telah dibelanjakan bukan hanya dari segi barang keperluan yang kita beri terus, tetapi dari segi logistik di sembilan lokasi ratusan warga PKPS bekerja setiap hari serta turun ke 2,850 lokasi setahun.

“Ini sudah semestinya sebuah pencapaian yang membanggakan,” katanya.


Pengarang :