Penyanyi terkenal, Siti Nordiana Alias. Foto Instagram Siti Nordiana
BERITA UTAMAPERSONALITI

Meski suara ‘direntap’ Covid-19, Nana tetap tampil di pentas nyanyian

Oleh Intan Syuhada Akhir

Dada selalu berasa sempit. Nafas tidak lagi panjang apabila melantunkan vokal tinggi. Malah sering termengah-mengah menghabiskan nyanyian. Penyanyi Siti Nordiana Alias pasrah dengan dirinya yang tidak lagi seperti dulu.

Wanita berumur 38 tahun itu menelan hakikat pahit bahawa jangkitan Covid-19 sudah mengubah hidup. Sejak 2020, lima kali virus berbahaya itu menyerang dirinya.

Meski bernasib baik pulih, peti suaranya disahkan cedera oleh doktor. Ia mendatangkan kebimbangan kerana anak jati Felda Sendayan, Seremban itu mencari rezeki menerusi persembahan nyanyian selain berlakon.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu mendapatkan rawatan intensif daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) sejak Jun. Dia terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan untuk kekal aktif.

“Sejak tahun lepas saya sudah sedar ada masalah pada pita suara. Covid-19 memang beri kesan pada bahagian paru-paru. Kita jadi mudah penat dan pernafasan makin sempit.

“Ada kalanya kita rasa penat nak menyanyi dan suara jadi ketat. Jadi, dalam tiga bulan ini, ada ubat-ubatan yang perlu saya ambil dan pantau pita suara saya,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Walau berdepan masalah kesihatan sehingga menjejaskan peti suaranya, ia tidak menghalang Siti Nordiana tampil bertanding di program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kesepuluh.

Edisi All Star Gegar Vaganza yang bersiaran pada 24 September menampilkan 10 bekas juara yang pernah berentap di program itu untuk musim sebelumnya.

“Saya tidak mahu mengalah awal. Saya takkan tahu jika tidak cuba. Daripada takut suara terkucil, lebih baik saya cabar diri. Saya pun sudah bersedia dengan segala kemungkinan di atas pentas.

“Hidup saya berubah sejak menjuarai GV musim kedua. Jadi, saya mahu memberi penghargaan kepada produksi GV yang memberi peluang kepada saya ketika musim kedua,” jelasnya.

Siti Nordiana mengadakan persembahan sewaktu rakaman Senandung Aidilfitri yang akan disiarkan melalui platform Media Selangor. Foto Megaday Media Sdn Bhd

Kerap di TikTok

Selepas hampir dua dekad dalam industri seni, wanita yang mesra dengan panggilan Nana masih berdepan kritikan pedas peminat muzik yang menganggapnya tidak boleh menyanyi.

Semuanya gara-gara persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu beberapa tahun lalu serta penampilan di Anugerah TikTok 2023 yang dianggap teruk kerana terkucil ketika membuat persembahan.

Ada juga peminat muzik mendakwa persembahan Artis Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-34 itu yang kurang memuaskan sejak kebelakangan ini membuatkan popularitinya semakin luntur.

Tambahan pula wajahnya sudah tidak lagi kerap muncul di kaca televisyen seperti drama Dia Semanis Honey yang mendapat sambutan menggalakkan pada 2016.

“Bila tidak muncul di televisyen memang ramai yang sangka kita sudah tidak dapat tawaran. Sebenarnya, kehidupan dan pekerjaan artis bukan hanya bergantung kepada televisyen semata-mata.

“Walaupun saya mungkin jarang muncul di televisyen, tapi alhamdulillah setiap minggu ada saja tawaran undangan nyanyian yang saya hadiri,” tambahnya yang baru melancarkan lagu Arah Cinta bulan lalu.

Sebenarnya, Siti Nordiana lebih kerap tampil di TikTok. Ia sebahagian usaha memastikan dirinya relevan dengan bidang seni masa kini yang cenderung dengan media sosial.

Terbukti memberi dampak positif, penyanyi itu menjadi antara selebriti Malaysia dengan jumlah pengikut paling ramai. Ia melayakkannya tercalon kategori Celebrity Creator of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023.

“Platform media sosial seperti TikTok seolah-olah membenarkan saya berkongsi sisi diri saya sebagai Siti Nordiana. Seorang wanita yang selalu bikin video bersama anak, Mohd Rayyan Nakhaie.

“Saya berpendapat, sebenarnya ramai orang yang tertekan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya suka berkongsi aktiviti bersama anak, sekadar santai-santai. Tak sangka ada yang terhibur,” tambahnya.


Pengarang :