Pengunjung mengambil peluang menyertai karnival kerjaya ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri tekad lahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir sektor penerbangan, aeroangkasa

SHAH ALAM, 10 SEPT: Penubuhan lebih banyak institusi dan pusat latihan yang menawarkan kursus berkaitan penerbangan dan aeroangkasa diyakini mampu melahirkan ramai pekerja berkemahiran dalam sektor itu.

EXCO pelaburan, perdagangan dan mobiliti berkata negara memerlukan ramai pekerja mahir dalam subsektor penerbangan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, persepaduan sistem, rekaan dan kejuruteraan serta pendidikan.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bercakap kepada media ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Industri penerbangan dan aeroangkasa memerlukan ramai pekerja mahir, jadi ini antara cabaran dihadapi ketika ini. Kita perlu miliki banyak pusat latihan dan kolej yang menyediakan kursus dalam lima subsektor itu.

“Melalui langkah itu, saya percaya lebih ramai terutama anak muda bergiat dalam industri penerbangan dan aeroangkasa selepas ini,” kata Ng Sze Han di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini.

Bercakap dalam temu bual eksklusif semalam, beliau berkata Kerajaan Negeri menggalas tanggungjawab penting bagi memastikan lebih banyak institusi dan pusat latihan ditubuhkan pemain industri.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (tiga, kanan) bergambar bersama dihadapan pesawat peribadi Hondajet HA420 ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita mahu lahirkan ramai pekerja berkemahiran di Selangor dalam industri ini dengan ditawarkan gaji yang lebih baik,” katanya.

Di Selangor, program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) diwujudkan Kerajaan Negeri bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor penerbangan.

Menerusi program itu, Selangor bersedia menjadi pelopor penyedia tenaga kerja sektor berkenaan termasuk dalam bidang pengendalian pesawat dan kejuruteraan.

 


Pengarang :