BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Meerqeen teruja jadi hero drama Indonesia

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Bintang seni meningkat naik, Meerqeen mencatat sejarah apabila menembusi industri telefilem Indonesia yang jarang memandang bakat luar.

Anak jati Ampang berumur 21 tahun itu berlakon dalam naskhah negara seberang sebagai teraju utama menerusi drama berjudul Modus Operandi.

Kali terakhir pelakon Malaysia beraksi dalam drama televisyen di Indonesia ialah Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2020 menerusi sinetron Dewi.

Modus Operandi yang diarah Makbul Mubarak turut menampilkan bintang Indonesia seperti Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.

Ia ditayangkan sebagai drama web menerusi saluran YouTube Bank Rakyat Indonesia pada 4 November tahun lepas.

Pelakon popular Meerqeen diserbu peminat di Indonesia ketika berkunjung ke Jakarta pada 15 Ogos 2023. Foto Facebook Meerqeen

Bakat peserta Hero Remaja 2020 menjadi perhatian produksi negara seberang selepas membintangi musim pertama drama rantaian televisyen Melur Untuk Firdaus.

“Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia adalah penghormatan besar terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia.

“Saya teruja dan pada masa sama gemuruh bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama cara kerja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam mengakui drama Melur Untuk Firdaus musim pertama menjadikannya antara pelakon muda rebutan pelbagai rumah produksi termasuk dari Indonesia.

Pelakon paling popular

Namanya juga hangat dalam talian. Tanda pagar drama atau projek lakonan anak muda itu antara carian paling tinggi di laman sosial.

“Sejujurnya saya tidak pernah rasa popular atau memiliki nama yang besar. Saya merasakan perjalanan saya masih jauh.

“Mengekalkan nama dalam bidang ini memang susah kerana makin ramai pelakon hebat yang hadir setiap hari. Cara saya bertahan ialah dengan memilih projek yang bagus,” katanya.

Atas sebab itu, Meerqeen tampil meneruskan drama Melur Untuk Firdaus bagi musim kedua. Hasilnya, drama rantaian itu mencetus fenomena dan nama beliau terus meniti di bibir peminat tegar drama Melayu.

Arahan Zamri Zakaria sebanyak 35 episod itu ditayang setiap hari pada jam 7 petang sepanjang Ramadan lalu.

Kemunculannya dalam drama dua musim itu menambat hati peminat. Dampak lakonannya telah menobatkan beliau pelakon televisyen paling popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35.

Meerqeen juga diangkat sebagai pasangan televisyen paling popular bersama gandingannya dalam drama berkenaan, Anna Jobling.

Anak saudara kepada penyanyi dan pelakon Safura Ya’acob itu bersyukur dengan populariti diraih pada usia muda.

Walau memenangi anugerah pelakon televisyen paling popular, Meerqeen menolak untuk mengenakan bayaran mahal kepada produksi yang mahu mengambilnya berlakon. Bagaimanapun, beliau bersikap selektif terhadap karya yang dilakonkannya selepas ini.

Selepas bercuti panjang pada Ogos lalu, jadual kerja lulusan Kolej Vokasional Gombak itu kembali padat bagi memenuhi permintaan sebagai dramatis.

“Sebagai seorang pelakon, hampir sepanjang masa kami bekerja. Macam bulan puasa lepas, lebih rancak saya bekerja mengumpulkan sebanyak mungkin rezeki untuk keluarga. Saya habiskan masa di set penggambaran,” katanya.

Meski begitu, Meerqeen cuba mencuri masa untuk bersama keluarga yang dianggap sumber kekuatan. Baginya, kehadiran adik bongsu Muhammad Shaqeel Shauqeen menghilangkan rasa letih beraksi di hadapan kamera.

“Saya akan tersenyum melihatnya setiap pagi dan selepas penat balik kerja. Dia adalah sebab untuk saya rasa bahagia,” katanya.

 


Pengarang :