Pengunjung mencuba simulator pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengunjung pameran udara tidak lepas peluang cuba simulator pesawat Hawk, dron

SHAH ALAM, 9 SEPT: Ribuan pengunjung hadir memeriahkan Pameran Udara Selangor 2023 (SAS 2023) yang berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Dibuka kepada orang awam pada hari ketiga, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dengan pesawat milik Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Antara pesawat yang menjadi tarikan ialah Cessna Caravan 208 dan Airbus AS555SN FENNEC yang digunakan untuk pemantauan udara, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan latihan penerbangan.

Pengunjung melihat pelbagai replika model kapal terbang awam ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, pengunjung juga berpeluang membawa pesawat Hawk menerusi simulator penerbangan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain mengendalikan dron daripada Persatuan Pengusaha dan Penggerak Industri Dron (MyDrone).

Pengunjung yang hadir turut disajikan dengan persembahan pesawat aerobatik daripada Juruterbang Akademi Penerbangan Layang-Layang, Kapten John Scratchman.

Sementara itu, Pegawai Waran Pusat Simulator Pejuang TUDM, Azean Aliasan berkata simulator pesawat Hawk itu adalah kali pertama dibawa khas sempena pameran udara Selangor.

Pegawai Waran Pusat Simulator Pejuang TUDM, Azean Aliasan

“Simulator pesawat Hawk ini hanya terdapat satu di Malaysia dan kali pertama dibawa kepada pengunjung supaya mereka dapat merasai sendiri bagaimana pengendaliannya.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan ia bukan sahaja terbuka kepada kanak-kanak tetapi orang dewasa juga dapat merasai pengalaman mengendalikan pesawat Hawk menerusi simulator itu,” katanya.

SAS 2023 yang membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri penerbangan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 September lalu.

Pameran yang mengangkat tema ‘Selangor Hab Penerbangan Am dan Perniagaan ASEAN’ itu berjaya menarik 117 pempamer dengan lebih 50 pesawat statik mengambil bahagian.

Kanak – kanak mencuba simulator dron di reruai Akedemi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pameran pada kali ini menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta dan antara negara terlibat Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

 


Pengarang :