Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kota Damansara pada 21 September 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga bersyukur dibantu MBI selepas terjejas dilanda ribut

PETALING JAYA, 22 SEPT: Seorang peniaga di Seksyen 8 Kota Damansara di sini tidak sangka hari pertama berniaga selepas cuti bersalin diuji dengan kejadian ribut pada 28 Ogos lalu.

Aishah Izhar, 34, bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang akan digunakan untuk mengganti beberapa peralatan jualannya yang terjejas.

Aishah Izhar

“Saya terharu dengan ingatan pihak berkaitan kepada peniaga terjejas di kawasan ini,” katanya yang menjual kuih muih tradisional dan sushi.

Beliau antara 21 peniaga yang menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM250 yang disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim semalam.

Berkongsi kejadian ribut itu Aishah menyifatkan ia paling teruk pernah berlaku sejak beliau mula berniaga di lokasi berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Paling tidak boleh dilupakan ketika hari kejadian saya turut membawa kelima-lima anak saya yang mana kebetulan waktu itu sedang cuti sekolah dan suami pula bekerja.

Rizman Hamid

“Cuaca pada mulanya tiada tanda seperti nak hujan cuma apabila waktu menghala ke petang hujan diikuti angin yang kuat tiba-tiba datang sehingga menyebabkan khemah kami (peniaga) terbang dan anak sulung saya turut mengalami kecederaan kecil di kepala.

“Bimbang sangat sebab ketika itu saya turut membawa bayi (anak bongsu) berusia empat bulan tetapi Alhamdulillah rakan yang turut sama berniaga di situ sempat menjaga dia sementara saya menyelamatkan anak-anak saya yang lain,” katanya.

Sementara itu, peniaga bubur ayam, Rizman Hamid, 39, berkata anggaran kerugiannya disebabkan kejadian itu sekitar kira-kira RM2,000 berikutan khemah serta beberapa peralatan musnah diterbangkan angin.

“Namun, saya reda dan syukur kerana tiada kecederaan dialami. Terima kasih kepada ADN Kota Damansara yang turut membantu pindahkan kami ke kawasan baharu yang lebih strategik dan selamat,” katanya.


Pengarang :