Graduan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) menunjukkan sijil tamat pengajian ketika Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita kali kedua di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 Oktober 2023. Foto Akademi Kepimpinan Wanita
EXCOSELANGOR

68 graduan Akademi Kepimpinan Wanita dirai dalam majlis konvokesyen

SHAH ALAM, 25 OKT: Seramai 68 graduan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dirai dalam majlis konvokesyen pada Sabtu, selepas mengikuti sesi pembelajaran selama 15 bulan.

Majlis konvokesyen kali kedua yang berlangsung di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, disempurnakan EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari.

Anfaal dalam ucapannya berkata peserta AKW melepasi proses saringan, latihan dan berjaya menyiapkan tugasan dalam tempoh ditetapkan sejak pembelajaran bermula 5 Januari tahun lepas.

“Graduan memberi komitmen cemerlang sepanjang sesi akademi berlangsung. Konvokesyen ini merupakan satu titik permulaan bagi saudari mengorak langkah ke tahap lebih tinggi.

“Perjalanan menimba ilmu tidak berakhir di sini sebaliknya ia proses dinamik yang berterusan dengan saudari harus berfikiran terbuka dalam mempelajari sesuatu.

“Ambillah peluang ini untuk melatih diri agar mampu menjadi wanita yang dapat melihat dan menilai sesuatu keadaan daripada pelbagai perspektif,” katanya.

EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berucap ketika Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita kali kedua di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 Oktober 2023. Foto Akademi Kepimpinan Wanita

AKW merupakan program tajaan Kerajaan Selangor bagi memantapkan kemahiran wanita dan bertindak sebagai ‘saluran bakat’ ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta kerja sosial.

Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi.

Kelas diadakan setiap Rabu selepas waktu bekerja bermula 6 petang hingga 9 malam di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Sehingga kini, AKW melahirkan seramai 248 graduan termasuk kohort satu dan dua.

Foto Akademi Kepimpinan Wanita

Pengarang :